Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah Keir Starmer dan Parti Buruh atas kejayaan besar mereka memenangi pilihan raya United Kingdom.
Menurut Anwar, beliau tidak sabar untuk berkerja bersama-sama dengan bakal Perdana Menteri Britain itu dan pasukannya dalam membangunkan hubungan strategik baharu yang merangkumi inklusiviti, kesaksamaan, hormat-menghormati, hubungan sesama manusia dan berkongsi visi untuk masa depan.
“Hubungan di antara Malaysia dan Britain sudah terjalin sekian lama, dianyam melalui sejarah dan dikukuhkan menerusi hubungan rapat ibarat tetangga dan sanak-saudara.
“Penyertaan Britain dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) meluaskan lagi horizon kerjasama ekonomi.
“Perjanjian Pertahanan Lima Negara pula merupakan batu asas kepada keselamatan kita bersama, di samping meningkatkan kestabilan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang lebih erat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Walaupun kertas undian masih dikira namun tinjauan meletakkan parti Buruh di landasan untuk memenangi 410 kerusi, lebih dua kali ganda berbanding yang dimenanginya pada pilihan raya lalu dan memberikan majoriti 170 di Dewan Rakyat.

Jumlah itu hanya sedikit berbeza daripada sejarah majoriti 179 kerusi yang dimenangi Tony Blair pada 1997, perdana menteri terakhir yang dipilih daripada parti Buruh.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast