LONDON – Manchester United tidak menutup peluang untuk melepaskan pemain paling berpengaruh kelab itu Marcus Rashford, lapor Manchester Evening News.
Menurut laporan itu, United mempunyai beberapa pertimbangan mengapa mereka akan merelakan pemergian penyerang berpindah ke pasukan lain.
“Faktor prestasi yang kurang memuaskan musim lalu serta beberapa tindakan displin yang dikenakan terhadap pemain itu mungkin akan menjadi alasan kukuh buat kelab melepaskan pemain tersebut.
“Pihak kelab juga berpendapat berpisah dengan Rashford bukanlah satu pilihan yang buruk kerana mereka juga dilaporkan memerlukan dana tambahan pada musim panas ini,” kata laporan itu,
United terpaksa menghadkan dana perpindahan kerana peraturan (PSR) yang memerlukan kelab itu perlu menjual beberapa pemain untuk menambah dana perpindahan mereka.
Paris Saint-Germain (PSG) antara kelab yang bersedia membayar harga yang mahal untuk mendapatkan Rashford dan disebabkan itu United serius mempertimbangkan untuk menjual pemain itu pada musim panas ini.
Rashford sebelum ini dikatakan menolak peluang untuk berhijrah menyertai PSG sebaliknya mahu kekal bersama The Red Devils bagi musim seterusnya.
Keputusan penyerang berusia 26 tahun itu memberikan tamparan hebat kepada PSG selepas menjadikan Rashford sebagai pemain paling berpotensi untuk menggantikan Kylian Mbappe yang menyertai Real Madrid. – Agensi