Gambar hiasan.

Oleh: Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pada hari ini sektor perumahan mengalami banyak perubahan dan cabaran. Perumahan bukan sahaja berperanan menyediakan tempat tinggal bagi memenuhi keperluan asas manusia. Bahkan skop perumahan pada hari ini adalah lebih luas dan mencakupi aspek keselesaan, keselamatan, ketersampaian kepada kemudahan, infrastruktur mahupun alam sekitar. Cakupan aspek ini adalah sangat penting kerana keperluan manusia sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Pembangunan perumahan yang selesa juga merupakan pentunjuk penting bagi Kualiti Hidup Masyarakat Malaysia (IKHM 2000). Menurut Garis Panduan Perancangan Perumahan pula (JPB & Semenanjung Malaysia, 2016), perumahan bukan sahaja berperanan sebagai komponen guna tanah utama dalam sesebuah bandar, malah turut memainkan peranan sebagai sektor utama yang menjana dan memacu perkembangan industri harta tanah dan pertumbuhan ekonomi di peringkat tempatan dan negara.

Bagi memenuhi kualiti hidup masyarakat dari asperk perumahan dan mengelak sebarang impak daripada pembangunan perumahan yang tidak terancang, penting bagi semua pihak (pihak yang berkaitan) untuk merujuk kepada Dasar Perumahan Negara (DRN) sebelum sebarang pembangunan perumahan dijalankan. Dalam dasar ini secara jelas (penulisan ini menfokuskan kepada Teras 6), yang menekankan akan kepentingan perumahan di sesebuah tempat perlu ditingkatkan dari aspek kemudahan sosial, perkhidmatan asas dan persekitaran yang berdaya huni (liveable)’ adalah amat penting untuk dicapai.Strategi Pembangunan Perumahan di bandar pula, secara khusus menetapkan panduan bagi perancangan Pembangunan perumahan haruslah menepati perkara I hingga III. Namun, penulisan ini hanya menfokuskan kepada perkara III iaitu:

Proses perancangan perumahan perlu berubah daripada hanya tertumpu kepada menyediakan rumah untuk diduduki kepada membentuk kediaman dan kejiranan yang berkualiti, indah dan harmoni dengan menerapkan prinsip-prinsip reka bentuk susun atur seperti berikut:
(a) Melahirkan perumahan yang mempunyai imej dan beridentiti;
(b) Memenuhi keperluan-keperluan khas komuniti;
(c) Mewujudkan komuniti yang berinteraksi;
(d) Menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur yang mencukupi dan berkualiti;
(e) Mewujudkan persekitaran kediaman yang kondusif dengan alam sekitar yang terpelihara; dan
(f) Melahirkan kediaman yang selamat daripada ancaman jenayah.

Berdasarkan Prinsip-prinsip di bawah Perkara III, secara jelas menetapkan akan keperluan kepada pihak perancang dan pemaju agar elemen sosial dan alam sekitar dalam sesebuah perumahan dibangunkan. Penetapan ini sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial iaitu estetik, kejiranan yang harmoni, penyediaan dan ketersampaian kepada kemudahan dan infrastruktur, alam sekitar dan keselamatan perumahan daripada ancaman jenayah. Elemen-elemen ini boleh diukur dari semasa ke semasa, sama ada ianya menyumbang kepada kualiti hidup masyarakat atau sebaliknya.

Sebagai contoh adalah Konsep Kejiranan (neighbourhood concept) yang perlu dimantapkan dan diberi penekanan dalam semua jenis pembangunan perumahan bertanah dan berbilang tingkat bagi menggalakkan interaksi dan hubungan sosial antara penduduk. Kajian berkaitan kepentingan hubungan kejiranan di bandar telah dijalankan oleh penulis pada 2011, yang mana menunjukkan pentingnya hubungan kejiranan yang positif iaitu “Cakna” kerana ia boleh mengekang daripada sebarang bentuk gejala sosial yang negatif seperti penagihan dadah dan jenayah, yang mana ianya menyumbang kepada kualiti hidup sosial masyarakat di bandar sama ada merosot atau meningkat.

Peri pentingnya hubungan kejiranan dalam konteks perancangan pembangunan perumahan di bandar, sehingga DRP menterjemahkan konsep kejiranan dalam bentuk mereka bentuk susun atur pembangunan melalui langkah-langkah berikut:

(i) Memastikan susun atur skim perumahan dirancang dengan hierarki kejiranan yang jelas dengan mewujudkan pusat kejiranan, unit kejiranan dan sub-sub kejiranan
Hierarki Kejiranan. Berdasarkan Konsep Kejiranan, memastikan susun atur skim perumahan dirancang dengan hierarki kejiranan yang jelas dengan mewujudkan pusat kejiranan, unit kejiranan dan sub-sub kejiranan.

(ii) (Mewujudkan pusat komuniti di setiap unit kejiranan melalui penyediaan kemudahan awam tertentu seperti surau, dewan, tadika, padang permainan serta kedai komuniti bagi menggalakkan interaksi dan hubungan kejiranan antara penghuni; (iii) Membangunkan kemudahan masyarakat dalam jarak kemampuan berjalan kaki (lingkungan 400 meter) daripada unit-unit kediaman; Penerapan konsep kejiranan boleh disesuaikan dalam bentuk kelompok kejiranan kecil dan kelompok kejiranan besar. Bagi kelompok kejiranan kecil, ia boleh direalisasikan dalam susun atur pembangunan di kawasan sub kejiranan melalui langkah-langkah di bawah:

Rajah 1: Hierarki kejiranan yang jelas dengan mewujudkan pusat kejiranan, unit kejiranan dan sub-sub kejiranan .

 

Rajah 2: Contoh-contoh Reka Bentuk Kejiranan mengikut Kelompok kejiranan yang kecil.

Justeru itu, jelas di sini bahawa sebarang bentuk dan jenis pembangunan perumahan sama ada di bandar mahupun di kawasan luar bandar, harus merujuk dan mematuhi DRN yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa yang ternyata mencakupi keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Panduan ini perlu dipatuhi oleh pihak-pihak yang merancang sebarang pembangunan perumahan sama ada peringkat tempatan, negeri sehingga nasional, supaya sebarang bentuk pembangunan tidak menyumbang kepada isu-isu berkaitan sosial, ekonomi dan mencemarkan alam sekitar.

 Penulis adalah Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Penyelidik Utama Construction Sustainable, Infrastructure, Environmental Management
(CSIEM); Felo Penyelidik Bersekutu Institut Transformasi Sosial Dan Pembangunan Wilayah (TRANSFORM) Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast