KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dibentang di Parlimen tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tanpa penglibatan peranan pegawai perubatan berdaftar.
Bekas Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sebaliknya kuasa itu hanya bagi kes-kes rawatan dan pemulihan sukarela yang bertujuan mempercepatkan proses merawat pulih mereka yang terlibat dengan penagihan atau penyalah guna dadah serta bahan.
“Sebenarnya masih sama peranan pegawai perubatan seperti akta asal kecuali dalam perakuan untuk kes sukarela sahaja bertujuan memoercepatkan proses rawatan dan pemulihan.
Ini bertepatan kerana pegawai pemulihan mempunyai kompetensi yang sesuai melalui latihan dan pensijilan khusus yang mereka perlu lalui,” katanya di Facebooknya, hari ini.
Zulkifli turut berkata, dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pindaan RUU berkenaan tidak membabitkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga adalah sangat tidak wajar dan tidak tepat.
“Juga tidak tepat jika dikatakan tiada libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Semasa saya menjadi Ketua Pengarah AADK lebih empat tahun dahulu, kita telah memulakan libat urus dengan agensi-agensi lain dan NGO yang saya difahamkan telah berjaya mengrealisasikan penambahbaikan dalam deraf terkini.
“Saya secara peribadi berpendapat usaha melengah-lengahkan pelaksanaan akta ini tidak sihat dan boleh merencatkan pencapaian dasar Dadah Terkawal 2025,” tegasnya.
Beliau menambah, cadangan pindaan RUU itu juga secara umumnya tiada lagi sistem keadilan jenayah khususnya pemenjaraan terhadap penagih atau penyalah guna dadah serta bahan.
“Sebaliknya penagih dan penyalah guna dadah akan dirawat pulih berdasarkan tahap keparahan di fasiliti AADK kecuali bagi kes langgar syarat,” jelasnya.
Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat Selasa lalu.
RUU itu antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – MalaysiaGazette