NIBONG TEBAL – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan majoriti lebih besar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu merupakan suara rakyat terhadap situasi politk terkini.
Jelas beliau, peratusan keluar mengundi kaum Cina dan India yang rendah turut dikesan menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan (PH) di DUN Sungai Bakap.
“Kita dapati peratusan pengundi India dan Cina menunjukkan pengurangan sekitar 10 hingga 13 peratus berbanding PRN Ogos lalu sekali gus menyebabkan kekurangan antara 1,000 hingga 2,000 undi.
“Kita terima keputusan ini sebagai satu terjemahan suara rakyat terhadap apa yang berlaku di sini dan Kerajaan Perpaduan akan melakukan post-mortem berkaitan keputusan ini.
“Pada masa sama juga akan meneliti gerak kerja sepanjang kempen ini berkaitan, kelemahan, kekuatan atau sebab musabab perolehan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Penjumlahan Undi bagi PH di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.
Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mendahului pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH).
Setakat 8 malam tadi, keputusan tidak rasmi menyatakan calon PN, Abidin Ismail memperoleh 14,383 undi mengatasi calon PH, Dr. Joohari Ariffin dengan memperoleh 9,997 undi.
Secara tidak rasmi, Abidin memperoleh majoriti 4,386 undi setakat ini. – MalaysiaGazette