Oleh Mogesh Sababathy
BARU-baru ini tindakan tidak bertanggungjawab oleh Pejabat Parlimen Selayang melepaskan ikan invasif ke dalam Tasik Biru, Kundang demi menjayakan sebuah pertandingan memancing telah dilaporkan secara meluas oleh media tempatan. Kejadian ini membangkitkan kebimbangan bahawa ikan-ikan invasif yang dilepaskan mungkin berpotensi untuk menyeberang ke sistem sungai dan seterusnya mencapai lautan atau ekosistem marin, sekali gus menimbulkan ancaman serius terhadap kelestarian alam sekitar yang lebih luas.
Ibarat sudah terhantuk baru nak tengadah, pihak Jabatan Perikanan Malaysia hanya mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa jaring akan dipasang pada laluan keluar tasik selepas tularnya hantaran di laman sosial media mengenai ikan patin Chao Praya (Pangasius sanitwongsei) yang merupakan sejenis ikan yang tergolong dalam kategori ikan pemangsa (invasif) atau spesies asing dilepaskan di tasik berkenaan. Pertandingan ini tetap telah berlangsung dengan kehadiran ahli parlimennya juga umpama isu ini dipandang remeh dan hanya mementingkan penganjuran pertandingan ini semata-mata. Isu ini tidak patut sama sekali dipandang enteng malah seharusnya tindakan yang lebih proaktif diambil bagi memastikan bukan hanya perkara ini berulang lagi tetapi supaya ikan-ikan yang sudahpun dilepaskan tidak terlepas ke perairan umum seterusnya mengganggu ekosistem marin secara keseluruhannya. Seperti api memakan lalang yang kering, tiada dapat dipadamkan lagi, masalah ini akan menjadi semakin sukar untuk dikawal jika tidak ditangani dengan segera.
Ikan invasif merujuk kepada spesies ikan yang bukan asli kepada suatu ekosistem dan mempunyai keupayaan untuk mengganggu atau mendominasi habitat baru mereka masuki. Impak ikan invasif kepada ekosistem perairan adalah sangat membimbangkan. Ikan-ikan ini seringkali lebih agresif dan adaptif berbanding spesies tempatan, menyebabkan persaingan yang tidak adil dan akhirnya dominasi terhadap sumber-sumber semula jadi seperti makanan dan ruang habitat. Ini bukan sahaja mengancam spesies ikan tempatan tetapi juga boleh merosakkan rantai makanan yang sedia ada, mengubah dinamik ekosistem dan menyebabkan kemerosotan kualiti air. Tambahan pula, ikan invasif boleh membawa penyakit dan parasit yang baru ke dalam ekosistem, yang mana spesies tempatan tidak mempunyai imuniti atau ketahanan, seterusnya mempercepatkan kadar kematian spesies tempatan. Keadaan ini juga memberi kesan domino kepada industri perikanan tempatan yang bergantung kepada kesihatan ekosistem dan kepelbagaian biologi untuk kelestarian ekonomi mereka. Ikan invasif yang dilepaskan tanpa kawalan bukan Sahaja boleh mengancam biodiversiti tempatan dan merosakkan ekosistem yang sedia ada malah turut menjadikan usaha pemuliharaan semakin sukar dan mahal.
Di Malaysia, isu pelepasan ikan invasif ke perairan umum ditangani melalui undang-undang dan peraturan yang tegas umpanyanya seperti dalam Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan larangan pelepasan spesies ikan asing tanpa kebenaran, dan penalti berat boleh dikenakan kepada individu atau entiti yang melanggar peraturan ini. Walau bagaimanapun, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang ini seringkali dipersoalkan kerana kekurangan sumber manusia dan logistik untuk pemantauan berterusan. Apakah erti undang-undang jika penguatkuasaannya lemah? Kita sering melihat kes-kes di mana pelanggaran ini tidak diambil serius atau hanya menerima penalti ringan, memberi isyarat kepada pelanggar bahawa tindakan mereka tidak membawa akibat yang besar. Perspektif perundangan ini bertujuan untuk melindungi biodiversiti akuatik tempatan serta memastikan keseimbangan ekosistem terpelihara, namun realitinya, usaha lebih gigih diperlukan untuk memastikan penguatkuasaan yang efektif.
Tambahan lagi, amat mengecewakan apabila melihat bagaimana belum ada satu pun institusi akademik dan penyelidikan yang menyuarakan mengenai isu ini. Institusi-institusi ini seharusnya berada di barisan hadapan dalam penyelidikan dan penyebaran maklumat tentang ancaman ekologi yang serius seperti ini. Hal ini menunjukkan jurang yang membimbangkan dalam penyampaian pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat umum. Dengan kemudahan dan kepakaran yang ada, institusi pendidikan dan penyelidikan sepatutnya memainkan peranan yang lebih besar dalam memimpin inisiatif pendidikan awam serta mencadangkan dasar-dasar yang lebih efektif untuk menangani isu-isu kritikal yang melibatkan alam sekitar secara amnya dan perairan secara khususnya seperti isu ikan invasif ini.
Jurang yang wujud di antara polisi dan masyarakat adalah salah satu punca utama ketirisan keberkesanan perlaksanaan polisi di negara ini. Seringkali, dasar-dasar yang digubal tidak diiringi dengan kempen kesedaran yang mencukupi, menyebabkan masyarakat tidak memahami kepentingan atau implikasi tindakan mereka terhadap ekosistem. Adalah penting untuk mengintegrasikan pendekatan pendidikan yang komprehensif dengan penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan keberkesanan yang maksimum.
Lebih luas lagi, negara kita turut berhadapan dengan masalah pencemaran laut, penangkapan ikan secara berlebihan, dan pemusnahan habitat marin seperti terumbu karang dan hutan bakau. Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan pencemar laut utama dunia, menyumbang dengan ketara kepada sisa plastik di lautan. Pencemaran plastik, khususnya, telah menjadi ancaman besar kepada kehidupan laut, dengan penemuan mikroplastik dalam perut ikan dan hidupan marin lain yang akhirnya masuk ke dalam rantai makanan kita. Kesedaran dan tindakan proaktif diperlukan untuk menangani semua isu-isu ini secara bersepadu. Negara kita yang kaya dengan sumber laut perlu dilindungi melalui dasar yang tegas dan tindakan yang bersepadu, memastikan kesejahteraan ekosistem marin serta kehidupan manusia yang bergantung padanya.
Baru-baru ini, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan 109 negara dalam penemuan mikroplastik dan lebih teruk lagi apabila ia menyatakan bahawa lebih 50 peratus daripada mikroplastik ini berpunca daripada konsumsi makanan laut seperti ikan. Disamping isu pencemaran plastik yang tidak sudah-sudah ibarat menggali lubang tak bertepi di negara ini, ditambahkan lagi dengan kelunturan terumbu karang secara besar-besaran di peringkat global akibat peningkatan suhu di permukaan laut. Malaysia semestinya tidak terkecuali daripada peristiwa ini memandangkan negara kita adalah sebahagian daripada Segitiga Terumbu Karang atau ‘Coral Triangle’ yang mana merupakan salah satu daripada kawasan terumbu karang terbesar di dunia. Peristiwa ini juga dikatakan sebagai antara yang terburuk melanda ekosistem terumbu karang di Malaysia dan dijangka akan menjadi lebih kerap pada tahun-tahun akan datang akibat perubahan iklim.
Perairan Malaysia juga mempunyai kepentingan ekonomi yang sangat besar. Memetik sebuah laporan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Untuk Asean dan Asia Timur, sebahagian besar daripada KDNK Malaysia disumbangkan oleh Ekonomi Biru (Blue Economy). Berbilion ringgit disumbangkan oleh sektor perikanan kepada pendapatan negara setiap tahun sekaligus menyediakan sumber protein yang penting kepada rakyat Malaysia. Tambahan pula, industri akuakultur yang berkembang pesat memberikan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi tempatan. Selain itu, perairan kita juga memainkan peranan penting dalam perdagangan maritim global, dengan pelabuhan-pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas berfungsi sebagai hab perdagangan yang menghubungkan Asia Tenggara dengan seluruh dunia.
Perairan Malaysia bukan lagi sekadar ikan dan kapal. Hal ini kerana potensi sumber hidrokarbon di dasar laut dan potensi pelancongan marin, termasuk menyelam dan ekopelancongan, menambahkan lagi nilai ekonomi yang boleh diperoleh dari perairan kita. Justeru, perlindungan dan pengurusan lestari ekosistem marin adalah amat penting untuk memastikan kelangsungan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Apa yang mengecewakan malah membimbangkan adalah sehingga kini, kita masih lagi tidak mempunyai sebuah pelan rancangan nasional yang komprehensif untuk mengurus dan memantau sumber marin.
Perkara ini juga memberi lebih banyak alasan untuk menubuhkan sebuah kementerian khusus bagi pengurusan perairan negara termasuk isu-isu berkaitan marin dan maritim. Seruan untuk mewujudkan kementerian khusus bukanlah satu perkara yang baru dan sudah berkali-kali dilaporkan bahawa ia disarankan oleh pakar-pakar di negara ini oleh kerana isu-isu seperti bidang kuasa yang bertindih di kalangan agensi kerajaan yang membawa kepada ketidakcekapan dan kekeliruan pelaksanaan polisi mahupun inisiatif, ketidakadaan pengurusan berpusat, serta kekurangan data dan kepakaran teknikal.
Di negara jiran seperti Indonesia dan Korea, kementerian khusus ini sudahpun ada dan berperanan dalam menguruskan sistem logistik maritim, pengurusan lestari lautan, pencapaian keselamatan maritim, dan memakmurkan komuniti nelayan. Penubuhan sebuah kementerian khusus yang bertanggungjawab terhadap urusan marin dan maritim adalah langkah kritikal yang harus diambil. Kementerian ini akan memastikan semua aspek yang berkaitan dengan perairan negara termasuk perikanan, pemuliharaan biodiversiti marin, pengurusan pencemaran, dan keselamatan maritim agar diurus dengan lebih sistematik dan bersepadu. Kementerian ini juga boleh berfungsi sebagai pusat penyelarasan untuk semua agensi yang terlibat dalam pengurusan marin, memastikan tiada pertindihan tugas dan sumber digunakan dengan efisien. Penubuhan sebuah kementerian khusus untuk urusan marin dan maritim juga akan menjadi langkah penting dalam memastikan perairan Malaysia kekal produktif dan berdaya tahan. Selain itu, polisi-polisi marin juga dapat digubal dan dilaksanakan dengan lebih berkesan, memastikan kelangsungan ekosistem marin yang sihat dan lestari untuk generasi akan datang. Ekosistem marin yang sihat bukan sahaja penting untuk alam sekitar tetapi juga kritikal bagi ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia.
Bagi mengatasi dan mengelakkan isu-isu daripada berterusan, Kerajaan Madani boleh mengambil beberapa langkah proaktif seperti:
1. Mewujudkan dasar komprehensif yang merangkumi semua aspek pengurusan dan perlindungan marin, termasuk kawalan spesies invasif, pengurusan pencemaran, dan pemuliharaan habitat penting seperti terumbu karang dan hutan bakau.
2. Memperketatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dengan meningkatkan sumber dan keupayaan agensi penguatkuasa, serta memastikan penalti yang dikenakan cukup berat untuk mencegah pelanggaran selain melaksanakan program pemantauan dan penyelidikan berterusan untuk menilai keadaan ekosistem marin, mengenal pasti ancaman baru, dan menilai keberkesanan langkah-langkah yang diambil.
3. Meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, sektor swasta, dan NGO untuk memastikan pendekatan yang bersepadu dan efektif dalam pengurusan isu-isu marin.
4. Menggalakkan institusi pendidikan dan penyelidikan untuk memainkan peranan yang lebih aktif bukan hanya dalam mendidik generasi masa depan dan menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan, tetapi juga menjadi suara yang menyuarakan pendapat professional dan ‘non-partisan’ dalam isu-isu kelautan. Institusi ini perlu terlibat dalam penyebaran maklumat, advokasi dasar, dan memberikan panduan berasaskan bukti hasil daripada kajian-kajian saintifik kepada penggubal dasar.
5. Menubuhkan sebuah kementerian khusus bagi memastikan semua aspek yang berkaitan dengan perairan negara termasuk perikanan, pemuliharaan biodiversiti marin, pengurusan pencemaran, dan keselamatan maritim diurus dengan lebih sistematik dan bersepadu.
Apa harga perairan Malaysia? Nilai ekologinya yang sangat berharga juga kesan langsung terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat tidak patut sama sekali diabaikan. Langkah-langkah tegas dan kerjasama yang efektif perlu diambil, sebelum terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk kesilapan kita hari ini.
Mogesh Sababathy
Aktivis Belia Alam Sekitar
Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
















