KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memberi penjelasan lanjut pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tawaran automatik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang memperoleh 10A.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penjelasan itu penting kerana timbul beberapa persoalan mengenai pengumuman berkenaan.
Soalnya, adalah pengumuman itu dikuatkuasakan tahun ini atau tahun depan.
Selain itu, beliau mendakwa wujud percanggahan maklumat dalam laporan media yang perlu diperjelaskan.
“Tempoh hari perdana menteri (PM) mengumumkan bahawa semua pelajar tanpa mengira kaum atau latar belakang yang memperoleh keputusan 10A dalam SPM akan diberikan tawaran secara automatik ke Kolej Matrikulasi.
“PM juga memberi jaminan bahawa kuota bumiputera kekal iaitu 90%. Ini bermaksud tiada perubahan. Dengan ini boleh disimpulkan bahawa tiada apa-apa perubahan tentang komposisi bumiputera dan bukan bumiputera dari segi kuota pengambilan.
“Bagaimana kedudukan mereka yang hanya mengambil sembilan subjek sahaja dalam SPM dan mendapat kesemua A,” soal beliau.
Jelasnya, ia kerana pelajar SPM yang mengambil 9 mata pelajaran adalah perkara biasa yang berlaku di sekolah
Jadi, adalah mustahil untuk mereka yang mengambil sembilan mata pelajaran mendapat 10 A pula.
Tambahnya, berdasarkan kenyataan media KPM pada 1 Julai pengambilan ini tertakluk kepada syarat kekosongan.
Namun persoalannya, adakah sekiranya terdapat ramai yang memperoleh 10A atau semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil, adakah kerajaan akan menerima masuk semua (termasuk 9A) atau tambah penempatan.
Tanya Ka Siong lagi, adalah tawaran kemasukan ke program matrikulasi dibuat secara automatik atau perlu membuat permohonan kerana dalam kenyataan media, KPM menyebut, ia tertakluk kepada permohonan 10A atau semua A dalam semua matapelajaran diberi tawaran secara automatik.
Beliau turut musykil perdana menteri baru sahaja mengumumkan dasar baharu kemasukan ke program matrikulasi tapi tarikh tutup matrikulasi dan rayuan sudah pun ditamat.
“Jadi minta pencerahan KPM,” tambahnya.
Baru-baru ini, Kerajaan memutuskan semua pelajar lepasan SPM yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Anwar berkata, perkara itu hasil keputusan perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri bagimemastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.
“Saya tidak mahu meneruskan ini sebagai isu kaum lagi. Cuma saya tekankan keputusan ini keputusan yang berani,” katanya. – MalaysiaGazette