MUMBAI – Hujan lebat membanjiri jalan raya dan landasan kereta api di ibu kota kewangan India ini, sekali gus mengganggu penerbangan dan memaksa penutupan beberapa sekolah dan kolej.
Manakala sungai-sungai di banyak tempat yang melimpah telah menjejaskan lebih dua juta orang penduduk.
Hujan dengan kapasiti melebihi 300 milimeter melanda bandar berpenduduk 12 juta dalam tempoh enam jam sehingga 7 pagi tadi.
Dengan ramalan hujan lebih lebat dan air pasang setinggi 4.4m di bandar pantai, sekolah dan kolej ditutup untuk hari ini sebagai langkah berjaga-jaga, kata pihak berkuasa.
Ketua Menteri Maharashtra berkata, trafik sesak di jalan raya dan laluan kereta api juga telah terjejas, dan meminta penduduk untuk berada di dalam rumah.
Air di landasan memaksa pihak berkuasa kereta api membatalkan beberapa kereta api jarak jauh, manakala rakaman televisyen menunjukkan beberapa kereta api penumpang pinggir bandar terpaksa dihentikan operasinya selepas landasan ditenggelami air.
Hujan, ditambah dengan jarak penglihatan yang rendah, mendorong pihak berkuasa lapangan terbang untuk menangguhkan operasi landasan selama lebih sejam mulai 2.22 pagi, kata sumber lapangan terbang. – Agensi