KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada pemandu kereta utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 13.1 Lebuhraya Guthrie arah selatan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, dalam kejadian itu seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berusia 18 tahun disahkan maut selepas merempuh belakang sebuah SUV jenis Harrier.
“Satu laporan polis telah diterima daripada pemandu SUV berusia 71 tahun itu pada jam 12.10 tengah malam tadi di Balai Trafik Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis telah menerima panggilan berhubung insiden itu daripada orang awam pada jam 2.48 pagi.
Semakan mendapati, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa telah melanggar belakang sebuah SUV di lorong kedua dari kanan kemudian terjatuh ke atas jalan raya.
Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawah ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Tambanya, pihak polis meminta kerjasama saksi kejadian dan orang ramai agar tampil menghubungi Inspektor Hasanal hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette