Mohd Kamil Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kecewa dengan apa yang berlaku ke atas bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang akan membawa usul mengenai perkara itu ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Ogos depan.

Ketuanya, Kamil Ibrahim berkata, usul berkenaan berkaitan dengan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

“Kami Pemuda UMNO Pahang akan bawa usul mengenai Datuk Seri Najib di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan kami telah pun membuat ketetapan membawa satu usul tetap iaitu isu titah adendum pada setiap Pemuda UMNO Bahagian dalam negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya pada 21 hingga 24 Ogos depan dengan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak Permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap.

Amarjeet dalam penghakimannya berkata, beliau sudah menimbangkan semua afidavit dan mendapati afidavit Najib hanya mengandungi kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaan beliau mengenai kewujudan titah berkenaan.

Amarjeet berkata, beliau mendapati kedua-dua afidavit berkenaan adalah pada peringkat tertinggi (dalam kategori) dengar cakap.

Katanya, dalam afidavit ketiga pula, Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengenai kewujudan Titah Adendum berkenaan.

Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Beliau juga memohon perintah mandamus  jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah. – MalaysiaGazette