Seorang lelaki didakwa memakai pakaian tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meletak kenderaannya di kawasan larangan di Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, Selangor berdekatan bangunan Empire. Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memakai baju-T dengan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meletak kenderaannya di kawasan larangan di Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, Selangor, berdekatan bangunan Empire.

Ketia Polis Daerah Petaling Jaya,  Asistent Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismajl berkata, lelaki itu dicari susulan video tular memaparkan dua gambar dan satu video berdurasi 13 saat membabitkannya.

“Dalam video tular itu, pemandu terbabit telah dimarahi oleh seorang pengguna jalan raya yang lain kerana menurunkan penumpang di kawasan garisan tidak boleh berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata, siasatan mendapati, insiden itu berlaku jam 8.30 pagi pada 3 Julai lalu semasa pemandu kereta jenis Volkswagen Polo Hatchback sedang menurunkan isterinya yang bekerja di bangunan berhampiran lokasi tersebut.

Tambah beliau, semakan awal mendapati, pemandu terbabit bukan seorang pegawai polis dan baju yang dipakainya diperoleh semasa mengikuti acara lairan anjuran PDRM di Shah Alam.

Sehubungan itu, polis sedang giat mengesan pemandu kereta itu serta individu yang membuat hantaran terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shahrulnizam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada orang awam, supaya tidak melulu menuduh dan memfitnah mana-mana pihak termasuk pihak penguatkuasa tanpa keterangan yang sahih,” katanya.

Tegas Shahrulnizam, mana-mana individu atau pihak yang sengaja mengeluarkan kenyataan fotnah boleh dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette