Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu, termasuk ahli keluarga, diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap pempengaruh wanita di aplikasi TikTok yang berakhir dengan kematian individu itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, sehingga kini tiada tangkapan baharu dilakukan dalam kes buli siber itu.

“Siasatan masih berjalan dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini .

Dua hantaran di akaun TikTok didapati mengandungi ugutan serta ancaman terhadap pempengaruh terbabit yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah, namun disyaki telah dipadam kedua-dua pemilik akaun TikTok tersebut.

Pempengaruh wanita berusia 29 tahun didakwa membunuh diri kerana tertekan dengan buli siber. Mayatnya ditemui di rumahnya kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu.

Menurut Ahmad Sukarno, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tambah beliau, siasatan turut dikendalikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian serta kemudahan rangkaian dengan menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (Kelakuan Aib). – MalaysiaGazette