Foto: JBPM
KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan ambulan Hospital Parit Buntar terbabas ke dalam parit berhampiran Plaza Tol Kamunting menghala ke Taman Berkat, Kamunting, Perak awal pagi ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Bomba daripada BBP (Balai Bomba Penyelamat) Kamunting seramai lapan orang telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS sebaik menerima panggilan pada jam 3.30 pagi.
Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Muhamad Nurmuizzuddin Ahmad Hamide berkata, terdapat empat orang mangsa terlibat dalam menaiki ambulan tersebut.
“Seorang lelaki telah dikeluarkan daripada kenderaan itu dengan bantuan orang awam.
“Manakala tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan ringan dan 2 orang lelaki mengalami kecederaan parah, ketiga-tiganya telah dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Beliau menambah, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Taiping dengan menaiki kenderaan Unit EMRS dan ambulan KKM bagi mendapatkan rawatan segera.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 4.20 pagi. – MalaysiaGazette