Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Oktober depan harus kekal dan tertumpu kepada penanda aras yang ingin dicapai dalam kerangka Ekonomi Madani, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai usaha tersebut, ia harus bermula dengan asas meningkat dan melaksanakan pembaharuan berterusan ke arah mencapai hasrat berkenan.

“Kita tekankan mengenai menaikkan siling (peneraju ekonomi Asia) supaya penstrukturan ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan, makanya daya cipta, daya saing, pendigitalan, AI (kecergasan buatan) yang diterokai dan reform dalam penjawat awam kerana ia tidak boleh kita harap cara dan kaedah lama untuk kita capai pendekatan baharu atau dasar baharu.

“Ini yang saya sebut menggapai di langit, dengan segala usaha dan inisiatif baharu tapi mesti berakar di bumi.

“Kalau kita mahu kekalkan bumi, tidak gapai langit, tidak boleh, kalau gapai langit, cabut tradisi dan budaya,” katanya pada sesi libat urus Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Belanjawan 2025 akan bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera yang akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, konsep ekonomi madani merupakan usaha menaikkan siling dimana ia berkisar ikhtiar menstruktur semula asas ekonomi bagi memacu pertumbuhan, melonjak pelaburan, memperkukuh industri tempatan supaya lebih berdaya cipta dan berdaya saing.

Langkah itu bagi mengangkat negara ini kembali sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.

Sementara aspek menaikkan lantai adalah dengan meningkatkan darjat kesejahteraan hidup rakyat yang merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama.

Menurut Anwar, pendekatan itu juga harus seiring dengan pacuan ekonomi agar rakyat tidak ketinggalan dalam merencanakan Ekonomi Madani.

“Kalau kita lihat kesan daripada keresahan rakyat terutama di desa, miskin bandar dan di pedalaman, mereka tak dapat umpamanya merasakan nikmat perubahan yang kita saksikan

“Jadi saya tentunya mulakan dengan menggesa rakan-rakan terlibat termasuk agensi penguatkuasaan supaya pantas dan berkesan tindakan mereka, penjawat awam lebih efisyen.

“Kita mahu laksanakan pelarasan gaji tetapi tidak munasabah dilaksanakan kalau tidak ada perubahan, nyata jelas reform dari segi memastikan kecekapan, mengelakkan kebocoran, ketirisan dan rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette