Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak tiga peratus pada mesyuarat dasar monetari, 11 Julai ini meskipun rasionalisasi subsidi baru sahaja dilaksanakan.

Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd (StanChart Singapore) bagaimanapun berkata, ia akan memantau sebarang perubahan terhadap unjuran inflasi BNM susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan 10 Jun lalu.

“Kami menganggarkan impak terhadap inflasi adalah sederhana sebanyak 0.1 mata peratusan kerana ia adalah perkara biasa yang berlaku apabila pemotongan subsidi bersasar dilakukan.

“Bagaimanapun, kami masih memantau kesan pusingan kedua terutamanya kerana mungkin ada lagi rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan di tengah-tengah pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Bank itu dalam nota penyelidikan berkata, ia turut memantau perubahan dalam pernilaian BNM terhadap ringgit selepas bank pusat itu berkata “nilai ringgit tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.”

“Kami melihat ini sebagai penambahbaikan terhadap pendapat BNM pada Mac yang mana bank pusat itu berkata “ringgit ketika ini sedang berada di bawah nilai disebabkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS