Datuk Sivakumar Nadarajah

KUALA LUMPUR – Insiden seorang pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu atau Ehsa menjadi mangsa siber buli sehingga bertindak membahayakan diri bukan satu isu terpencil.

Ia sebaliknya perlu perhatian serius dan segera.

Malah Esha dilaporkan telah meninggal dunia di rumahnya pada Khamis lalu iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah.

Menurut Penaung dan Presiden Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar, TikTok yang sepatuntya menjadi platform hiburan dan penjanaan pendapatan pasif kini sudah menjadi penyebab seseorang boleh diragut nyawa.

“Tindakan Ehsa sebenarnya telah membuka mata dan membangkitkan perlunya ada undang-undang, akta atau peraturan yang perlu dikuatkuasakan serta merta bagi membendung kemelut ini.

“Saya amat menghargai pengumuman oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa menghadiri upacara pengebumian saudari Ehsa bahawa penyelesaian akan dibincang dan diteliti dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat ini.

“Kita harap dengan tindakan pantas oleh pihak berwajib seperti Kementerian dan polis akan menjadi satu pengajaran dan kesedaran kepada mereka yang melakukan gejala siber yang makin berleluasa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagaimanapun, kata Sivakumar yang juga Pengerusi MIC Bahagian Segambut, pertemuan dengan penyedia media sosial sahaja tidak kerana sebelum ini banyak penegasan telah diberikan namun insiden seperti ini terus berlaku.

Sebaliknya beliau mahu melalui perjumpaan ini perlu ada satu penyelesaian pragmatik bagi mangsa jenayah siber buli ini untuk melaporkan segera dan tidak perlunya melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu pun Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM)  yang kadangkala memakan masa.

“Tegaskan supaya semasa pembukaan akaun media sosial, setiap pemegang akaun atau pengguna media sosial perlu daftar menggunakan dokumen peribadi rasmi mereka seperti kad pengenalan atau pasport supaya senang untuk mengesan pemilik akaun tersebut.

“Bayangkan semasa pembelian nombor telefon bimbit perlunya daftar menggunakan nombor kad pengenalan, jadi amalkan perkara yang sama semasa mendaftarkan diri media sosial. Dengan ini, mudah untuk mendapatkan penjenayah siber disamping dapat mengurangkan wujudnya akaun palsu,” ujarnya.

Menurutnya, dengan perkembangan teknologi, Artificial Intelligence (AI), jalan penyelesaian perlu dicari dengan mengemaskini aplikasi media sosial dengan ciri-ciri seperti pelaporan, konten berbaur keganasan, lucah dan tidak bermoral gugur secara automatik.

“Banyak lagi aspek boleh dibawa secara inovasi dan mesra pelanggan agar insiden yang menimpa daik Esha ini tidka berulang dan serang pengguna media sosial yang lain.

“Pihak berkuasa seperti PDRM, SKMM dan lain-lain perlulah memberi komitmen dan kerjasama kepada para pelapor agar musibah tidak dapat diulang. Jangan biar lebih banyak nyawa seperti Esha itu melayang sia-sia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita ditahan reman kes ugut pempengaruh TikTok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast