Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Seorang wanita direman sehingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan terhadap pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Rajeswary atau Esha.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek warga tempatan berusia 35 tahun ditahan di Bukit Beruntung pukul 1.45 pagi tadi.

Polis telah menerima laporan sekitar  4.13 petang pada 6 Julai lalu daripada seorang lelaki berusai 39 tahun berhubung ugutan diterima pempengaruh itu.

“Siasatan yang dilakukan mendapati, kejadian tersebut berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 30 Jun sekitar 10.15 malam dan 4.10 pagi pada 1 Julai lalu.

“Semasa pengadu berada di Lorong Kolam Air 8, Jalan Ipoh, dia telah terlihat dua posting melalui aplikasi Tiktok bernama ‘Dulal Brothers’ dan ‘Alphaquinnsha’ mengenai fitnah serta ugutan terhadap Rajeswary.

“Kedua-dua akaun TikTok itu telah menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Ahmad Sukarno, kandungan itu juga didapati mempunyai ugutan dan ancaman kepada Rajeswary serta menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

“Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis. Namun, hantaran itu telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun Tiktok tersebut,” jelasnya.

Susulan itu, kes telah disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana kelakuan aib.

Tegas Ahmad Sukarno, orang ramai dinasihati supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel ataupun kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat.

Terdahulu, seorang pempengaruh, Rajeswary Appahu, 30, yang juga aktivitis telah ditemui meninggal dunia di rumahnya pada Khamis lalu iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast