Antara bayi yang dilahirkan pada tanggal 31 Ogos semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Program Sambutan Bayi Merdeka oleh Yayasan Kita Anak Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2023 di Hospital Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 31 OGOS 2023.

Oleh: Abdul Hadi Abd Aziz

SEJAK akhir-akhir ini, kita sering mendengar di media arus perdana serta hangat di media-media sosial dan juga di corong-corong radio tentang isu ‘Childfree’ ataupun bermaksud pasangan suami isteri bersetuju memilih untuk tidak memiliki zuriat atau anak secara kekal atau tidak. Ia juga adalah pilihan peribadi yang dibuat atas pelbagai alasan antaranya kerana isu kesihatan, kewangan, gaya hidup atau keinginan untuk menumpukan perhatian kepada aspek lain dalam kehidupan mereka tanpa ada tanggungjawab membesarkan anak. Isu ini semakin mendapat perhatian semua pihak sehingga para ulamak turut memperkatakan dan berbincang mengenainya. Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia setiap pasangan lelaki dan perempuan yang berkahwin pasti inginkan anak dan zuriat keturunan mereka berkembang biak. Hal ini jelas difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 1:“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai”.

Perspektif sunnah

Terdapat sebuah hadis yang diriwayat oleh Ma’qil bin Yasar, beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian lelaki itu datang buat kali yang kedua maka Baginda SAW juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” [Riwayat Abu Daud; Sheikh Shu’aib al-Arna’ut r.h menilai bahawa sanad hadis ini adalah kuat]. Berdasarkan dalil-dalil ini, ia jelas menunjukkan bahawa kita dituntut untuk berkahwin seterusnya berusaha untuk memperoleh anak kerana ia adalah satu cara untuk memelihara dan memperkembangkan keturunan. Ini adalah sunnah yang sangat dituntut demi memperbanyakkan umat Nabi SAW kerana baginda SAW juga turut berkahwin dan dikurniakan anak yang ramai.

Perspektif maqasid syariah

Sehubungan itu, berkahwin dan memperoleh anak juga merupakan salah satu daripada maqasid syariah. Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan hukum Islam yang bertujuan untuk menjaga lima perkara utama dalam Islam; Agama (ad-din), Jiwa (an-nafs), Akal (al-aql), Keturunan (an-nasl), dan Harta (al-mal). Salah satunya ialah hifz al-nasl iaitu memelihara keturunan. Ini menunjukkan bahawa menjaga dan memelihara keturunan adalah salah satu tujuan utama dalam Islam. Maka perkahwinan ini bukanlah semata-mata untuk memenuhi kehendak hawa nafsu tetapi ia juga keperluan untuk memelihara dan memperkembangkan keturunan manusia.

Imam Al-Ghazali r.h dalam kitabnya “Ihya’ Ulumuddin” menyatakan bahawa salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk memperoleh anak yang soleh yang akan mendoakan
kedua ibu bapanya. Dan inilah sebenarnya antara sebab utama kita dituntut untuk memperoleh anak kerana anak akan menjadi sumber pahala buat ibu bapa mereka dan doa merekalah yang sangat diharapkan kelak setelah ibu bapa meninggal dunia. Bayangkan jika kita kurang bersedekah, kurang memberi ilmu, serta tiada anak, apakah yang akan tinggal sebagai sumber pahala kepada kita kelak di alam barzakh? Jika tiada anak yang akan mendoakan kita dan menyalurkan pahala kepada kita, betapa ruginya kita semua. Ini kerana Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.

Pandangan Sheikh Yusuf al-Qaradawi

Secara umum, majoriti ulama menganggap mempunyai anak adalah sangat dianjurkan dalam Islam seperti Imam Al-Ghazali yang mana beliau menekankan kepentingan perkahwinan dan mempunyai anak. Sementara itu, Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Asr menegaskan mempunyai anak adalah satu tuntutan dalam
Islam, tetapi beliau juga mengakui bahawa terdapat keadaan tertentu yang mungkin membolehkan pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak dan beliau menekankan
penting untuk membuat pertimbangan seperti masalah kesihatan mental dan fizikal, masalah kewangan dan lain-lain sebelum memutuskan untuk mempunyai anak.

Hal ini juga bertepatan dengan prinsip maqasid syariah yang lain iaitu menjaga kesejahteraan diri dan orang lain, serta memelihara kesejahteraan diri. Beliau menyokong keputusan untuk menunda atau tidak mempunyai anak kerana Islam tidak mengharuskan seseorang itu membahayakan dirinya atau orang lain. Berdasarkan pandangan beliau, beliau sangat menganjurkan umat Islam berkahwin dan mempunyai anak, tetapi ada beberapa aspek yang memungkinkan pasangan tertentu dibolehkan membuat keputusan untuk menunda atau tidak mempunyai anak. Namun keputusan tersebut tidaklah mementingkan diri sebelah pihak dan menyalahi nilai-nilai Islam. Meskipun pasangan bebas membuat sebarang keputusan berdasarkan situasi mereka, namun mereka juga perlu bertanggungjawab dengan keputusan itu agar menyakiti dan menzalimi antara satu sama lain.

Saranan kepada pasangan

Saranan kita kepada pasangan yang cenderung kepada Childfree hanya kerana risau masalah berkait dengan masa depan anak-anak dan persekitaran yang tidak membantu
contohnya sedangkan mereka sihat dan mampu dari segala aspek yang lain, berikut adalah beberapa nasihat dan saranan:

1. Pendidikan dan ilmu pengetahuan: Carilah ilmu mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa dari perspektif Islam. Berbincanglah dengan para ulama atau kaunselor perkahwinan Islam untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam.

2. Perancangan dan persediaan: Buatlah perancangan keluarga yang baik dengan mempertimbangkan aspek kesihatan, kewangan dan psikologi. Pastikan kedua-dua
pasangan berada dalam keadaan waras dan emosi yang stabil sebelum membuat keputusan besar.

3. Tangani ketakutan dan kebimbangan: Carilah sokongan dari keluarga dan rakan-rakan yang boleh memberikan dorongan dan nasihat yang positif serta mintalah bantuan daripada kaunselor profesional jika keadaan menjadi lebih teruk.

4. Solat dan doa: Doa dan solat menjadi senjata kita sebagai seorang Islam. Lakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk daripada Allah SWT serta memohon kekuatan dalam menghadapi kerisauan dan ketakutan yang melampau. Seterusnya bertawakkal kepadaNya agar dipermudahkan segala urusan.

Maka berkahwin dan mempunyai anak adalah sangat dianjurkan dalam Islam dan ia adalah salah satu cara untuk memelihara dan memperkembangkan keturunan. Walaupun terdapat pandangan yang membenarkan pasangan untuk memilih tidak mempunyai anak atas alasan-alasan tertentu, keputusan ini perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati dan merujuk kepada panduan syariah serta nasihat daripada ulama yang arif. Keputusan untuk tidak mempunyai anak (childfree) mungkin tidak sepenuhnya menyalahi sunnah dan maqasid syariah jika terdapat alasan yang munasabah dan dibenarkan oleh syarak. Namun, keutamaan dalam Islam adalah untuk mempunyai anak dan menjaga keturunan. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita.

 

Penulis dari Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast