Majlis Profesor Negara (MPN). Foto MALAYSIAGAZETTE.

KUALA LUMPUR – Dr Abd Ghani Ahmad (Jerlun – PN) mempersoalkan ketiadaan jawatankuasa audit dalaman di Majlis Profesor Negara (MPN) yang dianggap sesuatu yang pelik.

Justeru beliau menggesa tindakan sewajarnya diambil ke atas MPN susulan laporan Jabatan Ketua Audit Negara yang mendapati majlis tersebut telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

“Semakan audit mendapati MPN tidak menubuhkan jawatankuasa audit dalaman. Saya rasa ini satu benda yang cukup pelik. Mana mungkin sebuah agensi yang ditubuhkan kerajaan tidak ada jawatankuasa audit dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bahas usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung LKAN di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abd Ghani juga mempersoalkanĀ alasan mesyuarat ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) hanya diadakan sekali atau dua kali setahun sejak tahun 2019 hingga 2023.

“Persoalan saya di sini berapa kalikah MPN menetapkan mesyuarat LPA pada setiap tahun?

“Jika tidak ada mesyuarat yang begitu penting adakah pengerusi atau timbalan pengerusinya membuat keputusan besar melibatkan kewangan atau sebagainya hanya berdasarkan resolusi ahli LPA,” katanya.

Pada minggu lalu, LKAN mendedahkan MPN yang merupakan ajlis profesor universiti-universiti Malaysia yang dibiayai kerajaan telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Ini termasuk membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri.

Juruaudit juga mendapati RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah.

Ahli berkenaan tidak mengisytiharkan kepentingan mereka dalam syarikat itu, laporan LKAN.

MPN menafikan dakwaan LKAN dan berkata kerajaan pusat membubarkan badan berkenaan secara serta-merta pada 23 Mei 2018.

Langkah tersebut, kata MPN, secara tidak langsung mengeluarkan badan terbabit daripada naungan kerajaan.

Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian – PN) ketika membahas meminta kerajaan menjelaskan apakah tindakan yang telah diambil berhubung laporan LKAN.

“Saya mohon apakah tindakan yang telah diambil berhubung laporan LKAN tersebut?” soalnya.

Dalam pada itu, LKAN juga menunjukkan MPN menerima geran mengurus daripada kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015 hingga 2018, serta 2022 dan 2023.

Lantaran itu Ketua Audit Negara mengesyorkan JPM mengkaji semula MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan. – MalaysiaGazette