Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

SUBANG JAYA – Menteri Komunikasi mendedahkan dua wartawan telah diugut oleh individu yang melakukan buli siber terhadap pempengaruh yang meninggal dunia baru-baru ini.

Fahmi Fadzil berkata, individu berkenaan difahamkan telah menghubungi kedua-dua wartawan tersebut dan dalam masa yang sama telah mengambil gambar kediaman mereka.

“Mereka mengadu orang yang telah buli siber mendiang Esha  juga telah menghubungi mereka dan mereka berasa sangat takut pada masa itu. Ini merupakan ugutan jenayah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan di Hub celcomdigi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ramai yang menjadi mangsa buli siber secara senyap.

Lebih buruk apabila perbuatan itu kini dilakukan menggunakan akaun palsu, katanya.

“Kalau kami para menteri dan ahli politik sudah lali dengan buli siber tapi ia tidak bermakna tindakan itu dibenarkan. Kebiasaannya mereka ini menggunakan akaun palsu.

“Sepatutnya begini, berani cakap berani hadap. Jadi kalau berselindung di sebalik akaun palsu maksudnya ada yang tidak kena.

“Masalahnya sekarang buli siber ini dilakukan dengan menjemput orang dalam siaran secara langsung untuk sama-sama menghina, menyelar orang lain,” tambahnya.

Sementara itu, Fahmi  telah mengarahkan  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bertindak terhadap sejumlah individu yang terlibat dengan buli siber.

Bagaimanapun beliau tidak menerangkan secara terperinci tindakan yang akan diambil.

Dalam pada itu, Fahmi mengesahkan bakal bertemu dengan  Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memperincikan isu buli siber di Parlimen esok.

Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha ditemui meninggal dunia di rumahnya pada Khamis lalu.

Beliau meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Sudulan itu, polis menahan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan tindakan buli siber terhadap mendiang Esha.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here