KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merintis penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sebagai elemen penyelesaian pertikaian alternatif dan pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.
“Kaedah yang digunakan adalah rundingan tripartite antara Kementerian, pembeli kereta (pengguna) dan pengedar/pengilang.
“Melalui platform rundingan khas ini, disasarkan akan dapat mencari solusi yang adil dan seimbang untuk semua pihak.
“Ini sekali gus mengurangkan kos dan tempoh penyelesaian sebagai alternatif kepada proses mahkamah dan tatacara perundangan lain,” katanya pada Kamar Khas Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab menjawab soalan Syahredzan Johan (Bangi-PH) bertajuk Ombudsman Motor untuk Memastikan Keberkesanan Lemon Law.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN sedang menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bermula Jun dan dijangka selesai pada hujung September 2024.
“Hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan bagi menetapkan keputusan dasar di peringkat KPDN dalam menentukan hala tuju kerangka perundangan yang komprehensif dan kondusif dengan tuntutan semasa.
“Ini termasuk sama ada kita perlu menambah baik perundangan sedia ada iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) atau mewujudkan perundangan baharu,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, isu dan kes yang terkait dengan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan yang dibekalkan gagal mematuhi jaminan juga menyentuh beberapa perundangan lain.
“Ini termasuk beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia seperti Akta Kontrak 1950 [Akta 136], Akta Jualan Barangan 1957 [ Akta 382] dan Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212].
“Atas sebab itu, kajian yang sedang dilaksanakan oleh KPDN bersama kumpulan perunding ini juga akan melihat aspek ini merentasi semua kerangka perundangan ini.
“Kita akan pastikan cadangan bagi mewujudkan skim ombudsman khas untuk industri automotif di Malaysia sebagai suatu mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian di antara pengguna dan syarikat automotif akan menjadi antara agenda kajian,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam kajian itu, antara metodologi yang akan diguna pakai adalah kaedah temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus bersama pemegang taruh termasuk pihak industri.
“Dalam temubual mendalam bersama pihak industri automotif, kita akan mendapatkan maklum balas industri terhadap ketersediaan mereka untuk terlibat dalam skim ombudsman khas tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette