Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas selesai mendengar permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan kes salah guna kuasa program Jana Wibawa di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 20 Ogos depan bagi keputusan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyemak keputusan mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya.

Lima panel hakim yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Tarikh itu ditetapkan kerana panel memerlukan masa untuk membuat keputusan berkaitan semakan itu.

Sebelum ini, pada 28 Februari  Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Pada 16 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu memohon lima hakim untuk mendengar permohonan semakannya.

Muhyiddin dalam notisnya mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin sedang berdepan dakwaan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan. -MalaysiaGazette