Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Polis  akan mengemukakan permohonan arahan siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi merakam percakapan seorang pelakon lelaki terkemuka yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian yang berlaku di Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, polis perlu dapatkan perintah berkenaan terlebih dahulu.

“Kita akan panggil pelakon tersebut setelah mendapat kebenaran menyiasat,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Namun, beliau tidak memperincikan lanjut tentang perkara tersebut.

Dalam siasatan awal polis, mangsa telah keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi dan dimarahi suspek berusia 37 tahun akibat perselisihan faham pada pukul 3.38 pagi.

“Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpa dengannya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira jam 4 pagi.

“Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya dan tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita tersebut,” menurut kenyataan polis.

Difahamkan mangsa dan suspek telah menjalinkan hubungan sebagai kekasih kira-kira enam bulan.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan. -MalaysiaGazette