GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman menyifatkan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 relevan dalam usaha mengukuhkan institusi fatwa dalam negara.

Jelas beliau, pegangan kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah jelas menolak pandangan ekstrem yang boleh merosakkan umat dan memecahbelahkan perpaduan dalam masyarakat.

“Saya bersetuju dengan RUU tersebut dan sudah semestinya perlantikan mufti dan timbalan mufti terdiri daripada mereka yang berpegang dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

“Mufti juga mesti menguasai ilmu dengan baik, berkeupayaan berbahasa arab,  mempunyai kepakaran dalam mentafsir al Quran serta hadis.

“Selain itu, perlu juga berpengetahuan mendalam dalam ilmu fiqh dan lain-lain syarat yang telah dibincangkan oleh para fuqaha,” katanya hari ini.

Media pada Ahad lalu melaporkan Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) berpendapat bahawa Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 amat relevan dalam usaha menyatupadukan pelbagai latar belakang masyarakat di negara ini.

Pengerusi RAM, Datuk Syed Hood Syed Edros Al-Aydrus berkata, pertubuhan itu menyokong penuh pembentangan RUU bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

“RAM melihat Seksyen 3(2)(a), (b) dan (c) serta Seksyen 3(4)(a), (b) dan (c) adalah amat relevan apabila Seksyen 3(2) menyatakan bahawa seseorang itu layak menjadi mufti atau timbalan mufti jika dia seorang warganegara Malaysia, Ahli Sunah Waljamaah serta mempunyai kepakaran dalam hukum syarak,” katanya. – MalaysiaGazette