Muhammad Qasim Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengesahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menahan warga Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim selepas didakwa mengajar tanpa tauliah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Naim Mokhtar bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci berkenaan penahanan Muhammad Qasim.

“Saya dimaklumkan berkaitan operasi dijalankan JAWI dan apa yang dibawa oleh individu berkenaan dari Pakistan itu memang jelas kata dia bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan sebagainya. Itu pun berkait isu akidah.

“Pengajian dan dakyah dibawa oleh Qasim ini memang diperhatikan oleh JAWI khususnya bahagian penguatkuasaan sehinggalah JAWI ambil tindakan untuk memulakan operasi dan tangkapan.

“Cuma setakat ini saya tak boleh dedahkan sebab siasatan itu masih dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Masjid Negara hari ini.

Mohd. Naim berkata demikian ketika diminta pengesahan mengenai penahanan Muhammad Qasim di negara ini baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada individu tersebut akan dituduh di mahkamah, Mohd. Na’im berkata, ia bergantung kepada siasatan.

“Bergantung kepada siasatan dilakukan, kuasa mendakwa bergantung kepada pihak Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan. Apa JAWI buat ialah kumpul bukti dan laporan serta serah kepada Ketua Pendakwa Syarie. Beliau yang akan buat keputusan.

“Setakat ini pertuduhan ialah tidak ada tauliah. Dakwaan paling terkini mungkin bawa kesalahan tanpa tauliah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Muhammad Qasim mempunyai pengikutnya berdasarkan operasi tangkapan yang dibuat terhadapnya.

“Kalau ikut masa operasi berjalan, memang ada pengikut. Sebab itu nak pastikan jumlahnya tidak merebak, kita ambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Ujarnya, pihak JAWI juga akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sekiranya lelaki tersebut memuat naik kandungan berkaitan ajarannya di media sosial, namun setakat ini tiada laporan kepada MCMC. – MalaysiaGazette