KUANTAN – Polis Kontinjen Pahang melaksanakan inisiatif Pemerkasaan Keselamatan dan Pertahanan Balai Polis yang membabitkan Latihan Tembak Taktikal bagi pertugas-petugas di balai di setiap daerah di negeri ini bermula 6 Jun lepas.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ia melibatkan 130 orang anggota di setiap balai di 11 daerah selain di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan cawangan Istana.
“Mengambil iktibar insiden di Ulu Tiram Johor, kita Kontinjen Pahang mengambil insiatif melatih petugas balai untuk mempertahan dan mengendali senjata yang lebih mantap.
“Minggu ini adalah minggu terakhir bagi Zon 4 yang melibatkan Maran, Rompin, Pekan dan Cawangan Istana,” katanya dselepas Perhimpunan Bulanan IPK Pahang, di sini hari ini.
Mengulas mengenai arahan penutupan balai selepas jam 10 malam, Noor Hisam memberitahu, semua balai polis masih beroperasi seperti biasa kepada orang awam.
Namun, anggota polis yang bertugas di pintu pagar balai akan membuat tapisan awal kemasukan orang awam ke dalam kawasan balai terlebih dahulu.
“Ia bukan proses yang ketat, cuma perlu perkenal diri (lapor diri) di sentri pos di pagar sahaja,” katanya.
Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, baru-baru ini.
Saifuddin Nasution berkata, arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas. – MalaysiaGazette