ISKANDAR PUTERI – Mayat dipercayai lelaki yang terjun dari jambatan di laluan Linkedua di sini menghala Singapura pada pagi tadi ditemukan mayatnya selepas kira-kira tujuh jam pencarian mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Tinggi II, Ahmad Mazlan Mohd Nor berkata, mayat mangsa, S Jivananthan berusia 45 tahun ditemukan pukul 2.32 petang.
“Mayat tersebut ditemui oleh sekumpulan nelayan yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mayat ditemukan pada jarak 400 meter dari lokasi kejadian iaitu pada kedudukan menghala ke Forest City di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mazlan, mangsa dipercayai hanyut dibawa arus dan tersangkut di kawasan persisiran hutan paya bakau.
“Mayat mangsa dibawa ke jeti jabatan laut berhampiran untuk diserahkan kepada polis,” katanya.
Ahmad Mazlan memberitahu, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 7.17 pagi.
Susulan itu, katanya, seramai 17 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), tiga pacuan empat roda dan tiga bot dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut saksi di tempat kejadian katanya, mangsa yang dipercayai menunggang motosikal bewarna biru bertindak terjun dari jambatan. – MalaysiaGazette