Desmond Tan didakwa di Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret Muar hari ini atas kesalahan memiliki video pornografi kanak-kanak

MUAR – Tindakan seorang pelajar perubatan meletakkan telefon bimbit untuk merakam video dalam tandas sebuah gereja di sini bulan lalu membawa padah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Desmond Tan Chee Yong, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Desmond didakwa dalam milikannya pornografi kanak-kanak di sebuah gereja di Pusat Komersial Sialin pada pukul 9 malam, 29 Jun lalu.

Berikutan itu, pelajar perubatan universiti swasta itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan hukumannya penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh memasuki tandas bangunan di tingkat 3 dan meletakkan telefon bimbit dalam sampul duit raya.

Tertuduh kemudian membuka kamera dan meletakkannya dalam tandas untuk tempoh sejam sebelum datang mengambilnya.

Namun, pada hari kejadian, salah seorang mangsa yang juga kanak-kanak menggunakan tandas sebelum terpandang sampul terbabit.

Mangsa mahu mengetahui apa objek dalam sampul terbabit selepas berasa panas ketika menyentuhnya.

Apabila dibuka, mangsa mendapati terdapat telefon bimbit dengan kamera masih terpasang lalu melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

Siasatan polis mendapati dalam rakaman terbabit terdapat sembilan mangsa terdiri lima kanak-kanak dan empat dewasa yang sedang mandi serta membuang air.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini untuk laporan sosial, fakta dan hukuman.

Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap bulan sehingga kes selesai.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret di sini, Desmond didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah atas tuduhan memiliki gambar lucah atau tidak sopan pada tarikh dan waktu sama.

Majistret Fatin Dalilah Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 sebelum kes disebut semula pada tarikh sama dengan kes di Mahkamah Sesyen. – MalaysiaGazette