Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Polis hari ini melanjutkan tempoh reman ke atas seorang wanita warga tempatan yang ditahan untuk membantu siasatan kes jenayah buli dan ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap seorang pempengaruh media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, wanita berusia 35 tahun yang ditahan reman sejak Isnin lalu telah disambung reman lagi selama dua hari lagi sehingga Jumaat ini.

Ia  bagi membantu membantu siasatan lanjut berhubung kes ugutan jenayah ke atas pempengaruh bernama Rajeswary Appahu, 30, atau digelar Esha di TikTok.

“Suspek tamat reman hari ini (Rabu) dan pagi tadi kita sudah mendapatkan sambung reman selama dua hari lagi sehingga 12 Julai ini ke atas suspek wanita itu untuk membantu siasatan lanjut kes,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan diteruskan polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” kata Ahmad Sukarno.

Siasatan turut dikendalikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian serta kemudahan rangkaian dengan menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (Kelakuan Aib).

Pun begitu polis pada masa yang sama masih menunggu jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi semakan maklumat butiran pengenalan diri pemilik akaun lain yang terlibat.

“Setakat ini, seramai sembilan saksi sudah tampil dan selesai memberi keterangan kepada pihak polis dalam kes ini. Kita (polis) juga menjangka akan ada lagi saksi lain yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan dalam kes terbabit,” katanya.

Semalam, Ahmad Sukarno telah mengesahkan siasatan kes yang sama masih diteruskan oleh pihaknya.

Menurutnya, sembilan individu telah direkod keterangan untuk membantu siasatan polis.

Dalam kenyataan Isnin lalu Ahmad Sukarno telah mengesahkan telah membuat tangkapan ke atas seorang suspek wanita tempatan berusia 35 tahun di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Folf Resort, Rawang dipercayai terlibat dalam kes yang sedang disiasat.

Sebelum ini, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berkenaan ugutan dibuat di aplikasi TikTok terhadap Esha.

Katanya, siasatan polis mendapati pengadu telah terlihat dua hantaran di aplikasi tersebut di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Esha pada 3 Julai.

Menurutnya, kedua-dua akaun TikTok terbabit telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Jelasnya, kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis namun ia disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok terbabit.-MalaysiaGazette