KUANTAN – Ibu bapa mana tidak terharu apabila anak seawal usia enam tahun sudah memasang niat untuk menunaikan ibadah haji.
Bapa kepada Ayu Zarra, Norazly Nordin berkata, sepanjang seminggu beliau dan isterinya, Norehan Salleh ‘menadah’ telinga mendengar anak perempuannya bercerita tentang Rukun Islam kelima di rumah setelah membuat latihan amali di Little Caliphs (LC) Sungai Isap.
”Seminggu Zarra tak berhenti cerita simulasi haji di sekolah tadika. Walau pun deman seminggu sebelum itu dia tetap nak pergi sekolah dan teruja dengan aktiviti simulasi haji yang dianjurkan oleh pihak sekolah tadikanya.
”Lebih teruja apabila Zara kata, nak kumpul duit dan nak bawa emak dan bapanya ke Mekah. Kami terharu apabila anak diberi pendedahan awal dan dia seronok belajar cara mengerjakan haji,” katanya.
Bagi Norazly, semua ibu bapa berharap nilai pendidikan Islam dapat dterapkan dari awal kepada kanak-kanak sebagai asas didikan agama.
Beliau berharap pelbagai bentuk aktiviti dan latihan amali terus diterapkan agar pelajar menghayati keindahan Islam pada usia awal sebelum memasuki sesi persekolahan sebenar.
Pendapat itu turut dikongsi oleh Fazmal Nizam Zainudin, ayah kepada Nuraisyah Safiyah yang mengakui anaknya begitu bersemangat dalam melakukan persiapan aktiviti Little Hajj anjuran Little Caliphs.
”Sebagai ibu bapa, ia sangat bermakna kerana anak kecil diberi pendedahan awal. Walaupun anak-anak masih kecil sudah didedahkan dengan simulasi cara menunaikan haji yang dilihat sangat baik akan melatih generasi akan datang.
”Biasa anak bangun 7 tapi sebab teruja sangat anak bangun pukul 6 pagi sebab nak pergi Little Hajj ini, mesti balik cerita panjang lagi sebab sebelum ini anak berkongsi pengalaman latihan,” kongsinya kepada MalaysiaGazette.
Manakala bagi Nur Fazilah Zulkifli, 33, beliau menyifatkat aktiviti simulasi haji cilik dapat meningkatkan keyakinan diri kepada anak lelakinya yang menghidap sindrom lambat bertutur.
Anak sulungnya itu dilihat bertambah keyakinannya dalam komunikasi setelah mendapat pendidkan awal sejak usia empat tahun di Little Caliphs.
”Anak menghidap speech delay tapi dapat mendengar cikgu sehingga usia enam tahun ini nampak banyak perkembangan anak saya.
”Sebagai ibu pula saya pulak yang hiba tengok kejayaan anak sertai simulasi. Saya syorkan orang lain (ibu bapa) kerana aktiviti pembelajaran ini sangat memberi impak yang besar kepada anak.
Program Little Hajj Malaysia 2024 Zon Pahang melibatkan 465 pelajar 13,500 pelajar di seluruh negara.
Majlis dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif LC Datuk Roslan Nordin berlangsung di Kompleks Sukan Indera Mahkota TAR UMT hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini melihat suasana tersebut dilaksanakan dengan meriah oleh para peserta dan guru pengiring.
Lebih mengujakan apabila rata-rata pelajar yang ditemui mampu menghayati dan menyenaraikan rukun haji berdasarkan latihan yang dijalankan.
Sementara itu, Pengarah Program Little Hajj, Munirah Mustapha berkata, penganjuran Little Hajj kali kesembilan ini mengambil masa kira-kira tiga bulan persiapan kepada pelajar serta tenaga pengajar.
Tambahnya, pemilihan lokasi di Kompleks Sukan UMT TAR di Indera Mahkota bersesuaian untuk pelajar melakukan amali menunaikan semua rukun ibadah haji. – MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN :
ARTIKEL BERKAITAN :