Kama Azri (kanan) bertukar dokumen persetujuan pemulangan 16 nelayan Indonesia dengan wakil KJRI di kawasan perairan Malaysia-Indonesia di Johor hari ini

JOHOR BAHRU – Seramai 16 nelayan Indonesia yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram termasuk tiga daripadanya diselamatkan selepas kapal dinaiki rosak pada Jun dan Julai lalu, dihantar pulang hari ini.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) dalam satu kenyataan memberitahu, turut diserahkan Kapal KM Surya Indah 10 dan Kapal Bintang Jaya 9 yang dinaiki 16 nelayan warga asing tersebut.

Penyerahan tersebut dilakukan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kepada pihak pihak KJRI di perairan Malaysia-Indonesia di sini.

KJRI memaklumkan, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri
Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil mewakili APMM manakala Sigit S Widiyanto pula mewakili pihak KJRI Johor Bahru.

“Semua 16 nelayan Indonesia tersebut kemudian diserahkan kepada Kepala Zona Bakamla Barat, Republik Indonesia, Laksamana Pertama Bakamla Bambang Trijanto dengan disaksikan Direktur Operasi Laut Bakamla Republik Indonesia, Laksamana Basri Mustari.

“Semua 16 nelayan tersebut berasal dari dua kapal nelayan berbeza.

Seramai 13 nelayan merupakan sebahagian daripada 14 nelayan Kapal KM Surya Indah 10 yang berasal dari Bintan dan Lingga, Kepulauan Riau,” jelas kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

KJRI menjelaskan, 13 nelayan tersebut sebelum ini ditahan pihak APMM Zon Maritim Tanjung Sedili di perairan Kota Tinggi pada 25 April lalu kerana menangkap ikan tanpa kebenaran.

Susulan itu katanya, semua mereka didakwa di Mahkamah Seksyen Kota Tinggi pada 24 Jun lalu dan hakim memerintahkan mereka dibebaskan manakala Kapal KM Surya Indah 10 pula diserahkan kepada pihak APMM.

Sementara tiga lagi nelayan Indonesia tersebut katanya, diselamatkan selepas Kapal KM Bintang Jaya 9 mengalami kerosakan dan hanyut selama enam enam hari di perairan Malaysia.

“Ketiga-tiga mereka diselamatkan pada 5 Julai lalu oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sekitar Pulau Tioman, Johor dan kemudian diserahkan kepada APMM Pos Maritim
Teluk Gading.

Pemulangan 16 nelayan dan dua kapal katanya, terlaksana hasil kerjasama erat antara kerajaan Indonesia dan kerajaan Malaysia.

KJRI Johor Bahru merakam penghargaan yang tinggi kepada berbagai pihak yang menjayakan proses pengajaran pulang tersebut. – MalaysiaGazette