Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan sama ada Kementerian Luar telah dirujuk terlebih dahulu berhubung ketibaan dua buah kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya juga mempersoalkan sama ada ketibaan kapal tentera laut China itu merupakan keputusan Kementerian Pertahanan.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mendesak kerajaan menjawab mengapa tentera laut China itu diberikan sambutan meriah dan diizinkan melawat sekolah.

“Kerajaan perlu lebih sensitif dan peka terhadap perasaan rakyat tatkala kita sering dimaklumkan oleh media mengenai pencerobohan aset-aset China di dalam perairan kita berhampiran Sabah dan Sarawak, termasuk protes yang diterima oleh Petronas berkaitan kerja-kerjanya di Kasawari.

“Kerajaan juga masih belum memberikan penyelesaian tuntas mengenai kemasukan warga China ke dalam negara yang sebahagiannya tidak dapat dikesan. Ini berkait rapat dengan keselamatan, kedaulatan dan jati diri kita.

“Saya harap Kementerian Pertahanan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan penjelasan akan perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.

Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.

Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media.

Menurut Saifuddin, Malaysia sebelum ini pernah mengizinkan kapal-kapal tentera laut asing berlabuh di beberapa pelabuhan di negara ini untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya.

Jelas beliau, pegawai dan anggota dari kapal tentera laut asing itu diizinkan mendarat dengan pasportnya dicop dan sebagainya.

Bagaimanapun, ujarnya, terdapat protokol atau peraturan yang lazim digunakan oleh negara-negara di dunia, termasuk apabila kapal TLDM berlabuh di pelabuhan negara asing.

“Antara kapal tentera laut yang pernah berlabuh di sini ialah dari negara-negara yang Malaysia terlibat dalam perjanjian, contohnya Five Power Defence Arrangements iaitu dengan Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom, dan ketika ada latihan ketenteraan tertentu. Kapal tentera laut China juga pernah berlabuh di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast