Khirin-Nisa (kanan) menyampaikan penghargaan kepada pasangan suami isteri dalam majlis Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Johor 2024 di Dewan MBIP, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – ‘Childfree’ iaitu gaya hidup pasangan suami isteri muda masa kini yang memilih untuk tidak memiliki anak disifatkan sebagai satu ancaman dan tren yang amat membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, tren yang menular dalam kalangan pasangan millennial dan Gen Z ketika ini boleh merosakkan peranan institusi kekeluargaan.

“Tren ini menyumbang kepada penurunan statistik kelahiran hidup sebanyak 9.4 peratus, iaitu 106,386 kelahiran pada suku pertama tahun ini berbanding 117,413 kelahiran tahun lalu selain tahap kesuburan pasangan suami isteri.

“Malangnya, ketika ada pasangan yang begitu terdesak untuk mendapatkan zuriat sendiri, kini ada segelintir pihak yang mempopularkan ‘childfree’ dalam kalangan pasangan muda yang menolak kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga.

“Apa jua alasan yang diberikan budaya ‘childfree’ ini dilihat sangat tidak sihat dan boleh menganggugugat akan peranan institusi kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Johor 2024 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini, hari ini.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan pasangan muda supaya tidak menganggap anak yang dilahirkan adalah beban mahupun alasan untuk tidak memiliki cahaya mata.

Katanya, fenomena tersebut boleh menyebabkan berlakunya pengabaian tanggungjawab serta pembentukan masyarakat yang tidak seimbang sekiranya tidak ditangani dengan bijak.

Beliau turut bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini bahawa makruh hukumnya buat pasangan yang mengamalkan tren ‘childfree’.

Sebelum ini tular video pasangan suami isteri muda tidak mahu mendapatkan anak yang dianggap membebankan dan apabila tua nanti mereka memilih untuk tinggal di rumah perlindungan orang tua.

Dalam pada itu, Khairin-Nisa berkata, memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam era moden ini adalah sangat kompleks kerana bukan sahaja mencabar daripada sudut emosi dan fizikal tetapi juga perlu berhadapan dengan tekanan persekitaran.

Katanya, antara cabaran utama menjadi ibu bapa zaman ini adalah berdepan kos sara hidup yang tinggi, masalah keseimbangan kerja dan keluarga, kewangan, masalah pendidikan anak, tekanan kerja serta berpendapatan rendah.

“Hasil tinjauan juga mendapati bahawa terdapat kecenderungan dalam kalangan ibu bapa yang pernah terfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri atau melakukan sesuatu di luar kawalan terhadap ahli keluarga.

“Walaupun peratusannya adalah kecil atau rendah tetapi situasi ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan isu kesihatan dan kesejahteraan mental ibu bapa,” katanya.

Justeru katanya, setiap ibu bapa terutama pasangan muda perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu kemahiran keibubapaan dan kerajaan negeri telah membangunankan modul keibubapaan tersendiri iaitu Modul Keluarga Sakinah (untuk keluarga Islam) dan Modul Keluarga Sejahtera (bukan Islam) yang dijalankan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim,” ujarnya. – MalaysiaGazette