Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Kereta dinaiki dua lelaki terbabas semasa dikejar
Unit Kereta Peronda (MPV) polis sejauh kira-kira 10 kilometer dalam kejadian di Jalan Anggerik 19, Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, ketika kejadian pada jam 3.45 petang itu, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) sebelum mendapati sebuah kereta di Jalan Tebrau di sini berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota berkenaan menahan kereta kenderaan terbabit, namun pemandunya bertindak memecut laju kenderaan.

“MPV berkenaan mengejar kereta suspek sebelum terbabas di jalan tersebut sebelum berjaya menahan dua lelaki tersebut yang berusia 28 dan 36 tahun.

“Hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai 10 rekod kesalahan Jenayah dan 13 rekod dadah manakala seorang lagi mempunyai dua rekod kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman dua hari bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini manakala siasatan dijalankan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita masih menyiasat punca dua lelaki berkenaan melarikan diri apabila diarahkan berhenti,” ujar beliau. – MalaysiaGazette