Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Rakyat khususnya pengguna media sosial dinasihatkan agar terus ber berwaspada dengan taktik terbaharu sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan gambar individu ternama, selebriti dan ahli politik untuk menjerat mangsa demi keuntungan di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihak polis mengesan penipuan terkini sindiket itu menerusi paparan iklan yang turut menggunakan gambar individu-individu ternama di media sosial.

“Polis ingin menasihatkan orang ramai jangan cepat panik atau terburu-buru apabila melihat iklan seumpana, sebaliknya lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan taktik sindiket penipuan itu yang menggunakan identiti serta gambar orang kenamaan termasuk selebriti atau pemimpin politik.

“Seboleh-bolehnya jangan melayan sebarang bentuk tindakan berbentuk promosi iklan atau pujukan sindiket penipuan supaya terselamat daripada menjadi mangsa,” kata beliau selepas dihubungi hari ini.

Pada Selasa Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi ciapan laman X rasminya memaklumkan bahawa beliau membuat laporan mendesak polis melakukan siasatan segera tentang sebuah skim pelaburan di aplikasi Telegram didapati menyalahgunakan nama dan gambar beliau untuk menarik pelanggannya.

Kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi, laporan polis tersebut dibuat oleh pegawai Setiausaha Akhbar beliau di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Rabu minggu lalu.

Nik Nazmi membuat aduan itu sebagai tindakan menafikan penglibatannya dengan akaun terbabit serta menjaga nama baiknya daripada terus disalahgunakan oleh sindiket skim pelaburan tersebut.-MalaysiaGazette