KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 2.1 peratus bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.1%), diikuti dengan Pahang (1.6%) dan Kuching (0.1%).

Selain itu, indeks harga seunit batu baur merekodkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 0.6 peratus bagi kebanyakan kawasan pada Jun 2024 berbanding bulan lepas.

Peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Kota Kinabalu masing-masing 0.6%.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan bulanan mencatatkan peningkatan kecil dalam indeks harga seunit besi bagi beberapa kawasan. Peningkatan tertinggi di kawasan Sibu (0.4%), Kota Kinabalu (0.2%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.1%).

Namun, indeks harga seunit bagi bahan ini merekodkan penurunan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (-0.8%) dan diikuti dengan Terengganu & Kelantan (-0.1%).

Perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga struktur keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Jun 2024.

Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-0.7%), diikuti dengan Kuching (-0.6%) dan Kota Kinabalu (-0.2%).

Perbandingan tahunan untuk tempoh Jun 2023 dan Jun 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.4 peratus hingga 4.7 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi direkodkan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (4.7%), diikuti dengan Tawau (2.2%), Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.0%) dan Pahang (1.6%).

Indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 5.3 peratus pada Jun 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi hamper semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan bagi indeks bahan ini didapati di Kuching (0.5%) dan Johor (0.7%).

Mohd Uzir menambah, purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan kecil (0.3%) dengan purata harga RM23.10 per 50 kg sekarung berbanding Mei 2024 (RM23.04 per 50 kg sekarung).

Manakala, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula kekal tidak berubah berbanding Mei 2024 dengan purata harga RM3,730.49 bagi setiap tan metrik.

Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan pada bulan Jun 2024 meningkat antara 0.1 peratus hingga 2.0 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.

Peningkatan tertinggi bagi IKB telah dicatatkan bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan untuk kategori cerucuk kayu (2.0%) dan terdapat sedikit penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.3 peratus bagi IKB termasuk bar keluli di Johor dan Terengganu & Kelantan.

IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peritus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Tawau manakala IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan pula kekal tidak berubah.

Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak mencatatkan sedikit penurunan iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.2 peratus pada Jun 2024 bagi beberapa kategori bangunan di Kuching.

Tetapi peningkatan kecil direkodkan dalam indeks iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu dan IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Miri pula kekal tidak berubah. – MalaysiaGazette