Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bercakap pada media berkenaan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang ditangkap Jabatan Agawa Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah didakwa di mahkamah pada awal bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, lelaki itu bersama dua lagi pengikutnya akan berdepan sebutan kedua pada 17 Oktober nanti.

“Ketiga-tiga mereka ini dilepaskan dengan jaminan RM5,000 dan dua orang lagi yang tertuduh dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M, Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Terdahulu Mohd Na’im berkata, kertas siasatan terhadap Muhammad Qasim diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk tindakan.

Katanya, Bahagian Pendakwaan JAWI berpuas hati dengan kertas siasatan yang telah disediakan oleh bahagian penguatkuasaan dan seterusnya mengambil keputusan untuk mendakwa lelaki itu.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 11 dan Seksyen 46 (3) iaitu kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan iaitu mengajar tanpa tauliah.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan Mohd Na’im dipetik mengesahkan JAWI telah menahan Muhammad Qasim selepas didakwa mengajar tanpa tauliah di negara ini.

Difahamkan warga Pakistan yang kontroversi kerana mendakwa telah banyak kali bermimpi berjumpa Nabi Muhammad SAW dan pernah mendakwa dirinya Imam Mahadi, datang ke negara ini atas jemputan para pengikutnya di Malaysia.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, setakat ini siasatan berhubung kes berkenaan masih berjalan.

Ditanya mengenai jumlah yang menajdi pengikut kepada ajaran yang dibawa oleh Muhammad Qasim, Mohd Na’im menjelaskan, beliau merasakan jumlahnya tidak ramai hasil daripada siasatan yang dilakukan oleh pihak JAWI.

Sehubungan itu, beliau menggesa JAWI dan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan untuk menjelaskan kepada pengikut ataupun bakal-bakal pengikut ajaran Muhammad Qasim itu supaya mereka dapat faham ajaran yang diikuti tidak benar.

Langkah itu katanya, bagi mengelakkan mereka terus jahil hingga mendorong untuk mengikuti ajaran-ajaran seperti yang dibawa oleh Muhammad Qasim.

Sementara itu, mengulas isu tiang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar dipercayai di Kampung Paloh, Kuala Terengganu, Mohd Na’im berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Saya difahamkan Bahagian Penguatkuasaan JHEAT sudah menjalankan siasatan. Saya serahkan kebijaksanaan mereka untuk jalankan siasatan dan menentukan sama ada terdapat kesalahan atau tidak,” katanya.

Semalam , Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan akan memanggil waris ulama tersohor, Tok Ku Paloh untuk mendapatkan maklumat berhubung dakwaan terbabit.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata maklumat daripada waris Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan terdapat tiang Nabi Khidir dipercayai di makam ulama tersohor, Tok Ku Paloh. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Warga Pakistan dakwa banyak kali mimpi jumpa Nabi ditahan JAWI