PUTRAJAYA- Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh media sosial disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), anggaran kutipan derma terbabit mencecah RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal.
“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
“Pada masa sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.
Menurutnya kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad ini telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Katanya kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan kira-kira antara jam 6.30 petang hingga 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
— BERNAMA