Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar.

KUALA LUMPUR – Pelakon lelaki didakwa memukul teman wanitanya hingga cedera pada 7 Julai lalu tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pelakon berusia 30-an itu hadir bersama bapanya kira-kira jam 9 malam semalam.

Beliau juga memaklumkan, pelakon lelaki terbabit tidak ditahan dan polis hanya merakam keterangannya bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, polis juga telah selesai merakam keterangan kakak mangsa yang bersama mangsa sewaktu kejadian.

“Rakaman percakapan kakak mangsa juga sudah diambil. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Shahrulnizam berkata, polis gagal menghubungi pelakon lelaki itu selepas panggilan telefon dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak berjawab atau dibalas.

“Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada individu itu untuk hadir mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, seorang wanita mendakwa telah dipukul teman lelakinya yang juga pelakon di Ara Damansara kira-kira jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham kerana mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi dan dimarahi suspek.

Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita itu untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan teman lelakinya itu dan secara tiba-tiba telah memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan mangsa. – MalaysiaGazette