Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjuk barang-barang rampasan pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Sebuah premis di Jalan Hang Tuah dekat sini diserbu polis kerana disyaki menjadi pusat panggilan pelaburan mata wang asing (forex) pada 2 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan itu berjaya menahan 65 individu yang terdiri daripada 25 lelaki dan 26 wanita tempatan berusia 20 hingga 50 tahun.

Tangkapan itu membabitkan tiga wanita Vietnam; tiga lelaki dan empat wanita China; masing-masing seorang warga Bangladesh, Hong Kong, India dan Thailand.

Bercakap dalam sidang media, Ramli berkata, semakan polis mendapati sindiket berkenaan memperdaya mangsa dengan menawarkan akaun premium dan standard membabitkan pelburan forex.

Jelasnya lagi, pelabur yang berminat boleh mengakses laman sesawang yang disediakan sindiket bagi tujuan mendaftar, membuka akaun, dan menguruskan transaksi pelaburan mereka.

“Kita sedang menjalankan siasatan dengan agensi penguatkuasaan pelaburan bagi menentukan kesahihan syarikat yang mengendalikan platform pelaburan ini,” katanya.

Siasatan dilaksanakan  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-MalaysiaGazette