Toh Puan Raghad Kurdi Taib. Foto WAN NABIL NASIR, 21 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR- Isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib membuat laporan polis kerana dihalang memasuki rumahnya di Demak Jaya, Kuching, Sarawak.

Selain itu, beliau juga telah membuat permohonan mahkamah berhubung perkara berkenaan.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Raghad berkata, beliau pulang ke Kuching minggu lepas untuk menghadiri satu majlis kebajikan serta melawat kubur arwah suaminya, Tun Taib Mahmud.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila dihalang untuk memasuki kawasan rumah berkenaan oleh pengawal keselamatan.

Toh Puan Raghad Kurdi Taib membersihkan pusara allahyarham suaminya, Tun Abdul Taib Mahmud
Foto: Instagram Raghad

“Apabila tiba di pintu gerbang, kami diminta untuk pulang dan pengawal-pengawal keselamatan di situ memberitahu, mereka tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan saya masuk.

“Tetapi, Alhamdulillah, seorang pengawal keselamatan yang berhati baik membenarkan saya masuk,” katanya sambil menambah, pengawal keselamatan berkenaan telah pun dipecat kerana membenarkannya memasuki rumah tersebut.

Dalam pada itu, Raghad memberitahu, beliau terkejut melihat keadaan kubur Taib berada dalam keadaan tidak terurus.

Katanya, pusara itu kelihatan tidak pernah diziarahi sesiapa sejak hari pengebumian Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat itu.

“Sungguh sedih dan memalukan. Saya tidak rasa saya dibenarkan untuk mendapatkan walaupun seorang pekerja sahaja untuk menjaga kubur berkenaan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette