Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang ditahan sebagai suspek pertama bagi membantu siasatan kes ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap seorang pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu, 30, atau dekenali Esha dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul,  berkata, tindakan itu diambil selepas tempoh reman wanita berusia 35 tahun itu tamat pada hari ini.

“Suspek wanita itu akan diberi jamin polis dahulu sementara polis akan melengkapkan kertas siasatan.

“Kita akan terima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengenai tindakan yang perlu diambil apabila polis serahkan kertas siasatan kepada TPR nanti selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Semalam Ahmad Sukarno mengesahkan wanita itu disambung reman dua hari lagi selepas tempoh reman pertama selama tiga hari sejak Isnin lalu berakhir Rabu lalu.

Selain itu beliau juga memaklumkan tentang tangkapan pemandu lori sebagai suspek kedua dalam kes ini yang dipercayai pemilik akaun TikTok bernama @DulalBrothers pada petang Rabu di Setapak, di sini, dan kini direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut.

Pada Isnin lalu, wanita tersebut diberkas di Bukit Beruntung Rawang, Selangor. – MalaysiaGazette