Nur Farah Kartini Abdullah

TANJUNG MALIM – Polis giat mengesan seorang wanita yang dipercayai hilang di Taman Universiti, di sini sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, disedari hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan tidak masuk kerja semula.

“Pada jam 1.56 pagi semalam, kita menerima laporan polis berhubung kehilangan wanita terbabit yang juga dipercayai pekerja di kedai kereta sewa berkenaan.

“Wanita terbabit yang berkulit cerah serta tahi lalat di bawah mata kiri mempunyai fizikal sederhana dengan 163 sentimeter dan berat sekitar 58 kilogram.

“Dia kali terakhir dilihat memakai pakaian korporat muslimah berwarna biru jeans, bertudung dan berseluar slack berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di talian 05-459 6122. –MalaysiaGazette