Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 daripada Yayasan Keluarga Malaysia kepada Haziq Safwan Shahril

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke kediaman Haziq Safwan Shahril di Kajang, Selangor bagi menyampaikan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,000.

“Saya berharap bantuan yang diberikan kepada Haziq akan dimanfaatkan sebaiknya sewaktu menyambung pelajaran kelak.

“Pendidikan merupakan agenda utama pihak YKM kerana ia mampu mengubah nasib sesebuah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haziq yang merupakan salah seorang penerima bantuan YKM mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan SPM tahun lalu dan akan menyambung pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Perisian.

Dua lagi pemenang adalah Nur Alieya Nafiesya Muhamad Farid dan Intan Elya Rumaisa Zainuddin mencatatkan keputusan 6A.

Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 ini akan dikreditkan bersama dengan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 kepada penerima yang layak pada 19 Julai 2024.

Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 dan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 melibatkan 515 penerima dengan implikasi kewangan hampir RM300,000.

Menurut Ismail Sabri, bantuan Fasa 2 itu adalah bukti komitmen berterusan pihak YKM dalam membela nasib anak-anak yatim Covid-19. -MalaysiaGazette