Video tular memaparkan sebuah kereta memandu melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, Batu Pahat baru-baru ini.

BATU PAHAT – Polis sedang menyiasat video tular dalam media sosial memaparkan sebuah kereta yang memandu lawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular yang berdurasi 30 saat itu kira-kira pada pukul 3 petang, 7 Julai lalu.

“Bertindak atas siasatan dan tindakan lanjut sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Batu Pahat berjaya mengenal pasti dan mengesan pemandu terbabit.

“Polis menahan pemandu terbabit merupakan seorang lelaki berusia 46 tahun dan kereta dipandunya semasa kejadian. Hasil saringan air kencing mendapatinya negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dipenjara selama lima tahun dan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000.

Sekiranya merupakan kesalahan kedua katanya, boleh didenda minimum RM10,000 atau maksimum RM20,000.

“Pihak polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa peka serta mematuhi tanda-tanda isyarat dan peraturan-peraturan jalan raya yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Amalkan cara pemanduan yang berhemah dan selamat serta sentiasa memastikan keadaan mental dan fizikal dalam keadaan baik sebelum dan semasa memandu. Elakkan memandu dengan cara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang berbahaya kepada keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette.