Kemalangan jalan di NKVE, Shah Alam mengakibatkan tiga kontraktor selenggara jalan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian awal pagi Sabtu.Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Tiga maut manakala seorang cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 3.1 Lebuhraya Baharu Lembah Klang berhampiran Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan di lokasi nahas mendapati kejadian berlaku apabila kereta Proton Waja dari arah Damansara menghala ke Klang di lorong kanan hilang kawalan dan melanggar penghalang air dan pembahagi tengah lebuh raya.

“Semasa kejadian itu, terdapat kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekitar jam 3.30 pagi tadi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu menerima satu laporan berkenaan kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta di Kilometer 3.1 Lebuhraya NKVE di sini.

 

Kemalangan jalan di NKVE, Shah Alam mengakibatkan tiga kontraktor selenggara jalan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian awal pagi Sabtu.Ihsan IPD Shah Alam

Perlanggaran itu mengakibatkan tiga lelaki warga India berusia lingkungan 24 hingga 29 tahun yang merupakan pekerja syarikat penyelanggaraan maut di lokasi kejadian.

Seorang lelaki warga Bangladesh yang cedera ringan telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

Pemandu Proton Waja warga tempatan berusia 20-an telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis.

Ujian darah dan saringan air kencing turut diambil daripada pemandu terbabit untuk pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah.

Mayat ketiga-tiga mangsa maut itu kemudiannya telah dibawa ke Hospital Shah Alam.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Orang ramai yang melihat insiden itu atau mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, ASP Raja Mahadi Raja Mahmudin di talian 012-30976600. – MalaysiaGazette