KUALA LUMPUR – Dua lagi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berumur 30 hingga 40-an itu menerima bayaran antara RM300 hingga RM2,500 sejak tahun 2016 sebagai balasan melepaskan warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
“Ini adalah susulan daripada lima suspek termasuk tiga penguat kuasa yang ditahan reman pada 30 Ogos lalu dan telah pun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik berakhir tempoh reman masing-masing,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6.30 pagi Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi siasatan tersebut di Kuala Lumpur.
Menurutnya, susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa lalu dan perintah reman selama empat hari sehingga 6 Ogos ini terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, usaha giat sedang dilakukan untuk mengesan suspek utama, Roney Irwan Mohamad Nor, 49, dengan alamat terakhir C-T02-U03, Fasa P18R13, Presint 18, 62100 Putrajaya.-MalaysiaGazette