KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Penerbangan Malaysia (NUFAM) memandang serius pendedahan seorang wanita menerusi satu video klip YouTube berjudul “Darkside Pramugari” yang memberi satu gambaran negatif terhadap kerjaya seorang pramugari tanpa sebarang bukti kukuh.

Sekretariat NUFAM berkata, ia kerana, kenyataan wanita tersebut telah memberi kesan negatif kepada pekerja kru kabin serta menguris perasaan mereka secara menyeluruh.

“Sama ada wanita itu adalah seorang bekas pramugari atau tidak, ia tidak boleh dipastikan kerana wajahnya telah sengaja dikaburkan di dalam klip tersebut.

“Benar atau tidak cerita dia, namun kenyataan dan gambaran yang diberikan oleh wanita tersebut telah memberi impak negatif terhadap golongan pekerja kru kabin wanita dan industri penerbangan negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, NUFAM akan membuat laporan polis terhadap penerbit dan juga pihak yang terbabit dalam produksi video tersebut, selain mengambil tindakan sivil terhadap mereka.

Wanita yang mendakwa bekerja sebagai pramugari dalam video klip bertajuk ‘Darkside Pramugari’.

Rakaman video itu memaparkan seorang wanita bernama Kathy yang berasal dari Banting, Selangor dan bekerja sebagai seorang pramugari sejak tiga tahun lalu.

Wanita itu mendakwa, kerjaya seorang pramugari menyeronokkan kerana itu impiannya tetapi paling ditakuti kerana berdepan dengan gangguan seksual.

Tambahnya, seorang pramugari dilihat sebagai ‘objek’ seksual menyebabkan mereka selalu berhati-hati apabila berdepan dengan penumpang yang tidak bertamdun.

Dalam rakaman itu, dia berkata, keseronokan seorang pramugari apabila berpeluang bertugas ke luar negara.

Namun, dedahnya, apabila berada di sana, ada pramugari dan pramugara terpaksa berkongsi bilik, termasuk ‘tidur’ bersama juruterbang dan perkara itu dinormalisasikan oleh petugas-petugas penerbangan.

Mengulas lanjut, NUFAM menyifatkan video klip berkenaan sebagai ‘buli siber’ kerana terbukti mencemarkan integriti, maruah dan imej pramugari.

Ia terbukti apabila video ini telah mendapat kecaman oleh ramai pihak terutama mereka yang bekerja dalam industri penerbangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast