SERDANG – Kerajaan bersimpati terhadap apa yang berlaku kepada calon Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengharapkan keadaan Trump terkawal.
“Kita baru dapat maklumat awal apapun pendirian kita tentang mana-mana tokoh.
“Oleh yang demikian kita lahirkan simpati kepada Donald Trump dan mengharapkan keadaan terkawal,” katanya kepada media selepas perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian bagi mengulas insiden yang menimpa Trump yang ditembak pada perhimpunan kempen pilihan raya di Pennsylvania.
Calon presiden Republikan itu dilihat menggengam dan mengangkat tangan ketika diiringi ke kenderaan oleh Perkhidmatan Perisikan negara itu.
Sementara itu, Malaysia mengutuk kekejaman yang berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel, termasuk melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian al-Mawasi semalam.
Jelas Anwar, serangan itu telah mengorbankan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan ratusan orang yang lain.
“Malaysia mengutuk keras pengganas Israel ke atas penduduk wanita, orang awam dan kanak-kanak di Gaza.
“Tindakan ini diteruskan kerana kegagalan negara besar mempertahankan kemanusiaan dan hak, oleh itu kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian kita keras mengutuk kezaliman berterusan tanpa perikemanusiaan rejim zionis Israel,” katanya.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan serangan yang keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di zon selamat yang telah ditetapkan oleh Israel sendiri untuk rakyat Palestin.
Katanyai, serangan tersebut jelas merupakan suatu pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia. – MalaysiaGazette