Jambatan bailey di Kampung Permatang Sepam, Pontian yang dibina bermula 9 Julai lalu dijangka mengambil masa sembilan hari untuk disiapkan.

PONTIAN – Pemasangan jambatan bailey di Kampung Permatang Sepam, di sini, sepanjang 42 meter bagi menggantikan jambatan sedia ada yang rosak dijangka siap sepenuhnya Rabu depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan bailey itu telah bermula pada 9 Julai lalu dengan jangkaan sembilan hari untuk siap sepenuhnya.

Ahli Parlimen Pontian itu memberitahu, ini merupakan kali pertama jambatan bailey dipasang di jalan pertanian di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sebelum ini, jambatan bailey membabitkan laluan di peringkat Persekutuan dan negeri. Pemasangan jambatan ini hasil kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Komponen jambatan Bailey model Acrow 700XS diambil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan Selangor. Pengurusan logistik mengangkut jambatan bailey ini dilakukan dengan dua lori lima tan oleh JKR Pahang dan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak kerja pemasangan jambatan Bailey di kampung berkenaan, hari ini.

Ahmad berkata, jambatan bailey berkenaan akan memberi manfaat kepada hampir 500 penduduk.

Jelasnya, salah satu struktur jambatan sedia ada di kampung berkenaan telah mengalami kerosakan pada bahagian struktur pada Disember lalu menyebabkannya tidak selamat digunakan.

“JKR Daerah Pontian telah mencadangkan pembinaan jambatan konkrit baharu namun memakan masa lebih kurang dua tahun. Untuk itu, jambatan bailey digunakan sementara menunggu jambatan konkrit dibina,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 6 Permatang Sepam, Mohd Ikhsan Hashim berkata, jambatan bailey tersebut memberi harapan baharu kepada penduduk.

“Sebelum ini, penduduk terpaksa guna laluan lebih jauh iaitu kira-kira 8 kilometer untuk menghantar anak ke sekolah dan masjid.

“Penduduk menantikan jambatan baharu yang lebih selamat. Akhirnya khabar gembira jambatan Bailey dipasang di kampung kami,” katanya.

Seorang penduduk, Mohd Johari Sarkom, 52, pula meminta JKR agar memasang papan tanda amaran bagi memastikan kenderaan berat tidak menggunakan jambatan bailey.

“Sepatutnya kena ada papan tanda amaran. Penduduk risau jika jambatan ini digunakan kenderaan berat menyebabkan ia tidak selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette